Thursday, July 29, 2010

FIQH RAMADHAN

SYARAT SEMPURNA RAMADHAN

Sebagaimana maklum bahawa orang yang berpuasa ini terbahagi kepada tiga darjat iaitu puasa orang awam, puasa orang khusus dan puasa orang yang lebih khusus. Puasa bagi orang awam ialah dia hanya menahan perut dan kemaluannya daripada mengikut kehendak nafsu syahwat yang membatalkan puasa. Puasa bagi orang khusus ialah menahan pendengaran, penglihatan, percakapan, tangan, kaki serta seluruh anggota badannya daripada melakukan maksiat. Manakala puasa yang paling sempurna ialah puasa orang yang lebih khusus daripada golongan para nabi, siddiqin dan muqarrabin kepada Allah di mana mereka bukan sahaja berpuasa segala anggota badannya malah hati mereka turut berpuasa daripada mengingati dunia sehingga mereka tenggelam dalam mengingati hanya kepada Allah dan mengenang nasib mereka di akhirat. Mereka tidak berfikir masalah dunia melainkan sebagai perantaraan dalam mengingati hari akhirat. Puasa ini memang susah dicapai tetapi tetap diusahakan dalam menggapainya demi mengejar kebahagian yang hakiki di akhirat yang kekal abadi.

Di sini akan dijelaskan mengenai syarat yang perlu dijaga dan dilakukan bagi mencapi puasa orang yang khusus iaitu puasa bagi hamba-hamba Allah yang soleh bagi menghindari diri kita daripada hanya setakat berpuasa sebagaimana orang awam yang tidak menjanjikan perubahan dan keinsafan ke arah menjadi hamba Allah yang bertaqwa malah ditakuti kita hanya berpuasa untuk menahan lapar dan dahaga sahaja sedangkan segala amalan kita tidak mempunyai nilai walau pun sedikit di sisi Allah Azza wa jalla.Syarat yang mesti dibuat oleh kita dalam mencapai puasa khusus ini ialah sebagaimana di bawah :

Pertama : Menunduk dan menahan mata daripada melihat perkara yang tercela dan dimurkai Allah disamping menjaganya daripada melihat perkara yang melalaikan hati daripada mengingati Allah. Hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim di mana nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Pandangan itu merupakan anak panah beracun daripada anak-anak panah iblis. Sesiapa yang meninggalkannya (pandangan) kerana takut kepada Allah maka Allah akan anugerahkannya keimanan yang terdapat kemanisan iman dalam hatinya.

Kedua : Menjaga lidah daripada menipu, mengumpat, mencela, mengutuk, memburukkan orang lain atau melaga-lagakan mereka serta menyanyi nyanyian yang melalaikan diri kita daripada mengingati Allah. Kita hendaklah senyap dan memperbanyakkan mengingati Allah dan banyak membaca Al-Quran serta berzikir.Ingatlah lidah itu lebih bahaya daripada mata pedang di mana kerana tersilap kata menyebabkan masalah besar akan timbul. Lidah antara anugerah Allah yang mesti diguna dengan sebaiknya bukan bertujuan dipakai sesuka hati.Jika bercakap itu perak maka diam itu adalah emas. Banyak bercakap akan lebih banyak membongkarkan kelemahan dan kecetekan ilmu seseorang. Jika kita dikutuk maka katakanlah bahawa aku berpuasa. Mereka yang mengata sesuatu yang buruk terhadap seseorang maka seolah-olah dia memberikan pahalanya kepada orang yang dikata disamping menambah bebanan dosa orang yang dikata untuk dipikul atas bahunya. Tergamakkah kita memakan daging saudara seislam kita. Oleh itu kawallah percakapan seharian kita.

Ketiga : Menahan pendengaran daripada mendengar perkara yang dilarang kerana setiap apa yang diharamkan mengeluarkannya daripada mulut maka ia turut diharamkan daripada mendengarnya. Sebab itulah Allah menyamakan mereka yang mendengar perkara maksiat dengan mereka yang memakan perkara haram. Maksud firman Allah dalam ayat 42 surah al-Maidah : Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram........ . Oleh sebab itulah disamping kita tidak mendengar orang yang mengumpat dan sebagainya maka kita juga hendaklah menegahnya daripada berbuat demikian.

Keempat : Menahan segala anggota yang lain iaitu tangan dan kaki daripada maksiat dan dosa serta menahan perut daripada memakan perkara syubhat atau haram ketika berbuka. Apa gunanya sepanjang hari dia boleh menahan diri daripada memakan perkara halal dan haram tetapi ketika berbuka dia sanggup memakan perkara yang haram. Dia seumpama si sakit yang tidak mahu makan ubat yang terlalu banyak kerana takut memberi kesan buruk pada dirinya tetapi dalam masa yang sama dia memakan racun walau pun sedikit. Tujuan puasa untuk memastikan kita sentiasa menghindari daripada memakan perkara yang haram disamping melatih diri kita untuk mengurangkan pemakanan ketika makan walau pun ia halal kerana makanan yang halal akan turut memberi kesan buruk pada diri kita jika dimakan terlalu banyak bukannya ia merbahaya disebabkan jenisnya. Dengan melatih diri kita agar menjauhi makanan yang halal sepanjang berpuasa akan menyebabkan timbulnya kesedaran dan sikap berhati-hati ketika mahu makan agar tidak terlalu banyak dan juga terhindar daripada perkara haram. Nasai'e dan Ibnu Majah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud : Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.

Kelima : Tidak terlalu banyak makan sekali pun halal sehingga tersumbat lubang pernafasannya kerana Allah begitu murka mereka yang terlalu banyak makan.Ingatlah bahawa satu pertiga perut kita untuk makanan, satu pertiga untuk minuman manakala satu pertiga lagi untuk udara atau pernafasan. Kita tidak mahu nafsu makan kita dapat ditahan sepanjang berpuasa tetapi apabila berbuka kita melayan atau terlalu mengikut nafsu makan sehingga terlalu kenyang malah banyak yang membazir. Jika pada bulan-bulan biasa kita hanya berbelanja setakat keperluan tetapi kebanyakannya pada bulan puasa perbelanjaan sentiasa meningkat demi memuaskan nafsu makan yang membuak-buak sehingga makan yang tidak mampu atau tidak pernah dimakan pada bulan biasa turut dibeli untuk menjamu nafsu makan. Inilah yang membahaya dan mencacatkan ibadat puasa yang mengajar mujahadah dan kesungguhan dalam menjaga makan minum tetapi yang terjadi pada kita adalah sebaliknya. Latihlah diri kita untuk menahan dan mengurangkan makan pada bulan puasa dan seterusnya pada bulan yang lain. Banyak makan menyebabkan kita mudah letih dan mengantuk yang membawa kepada kurangnya mengingati Allah dan susah untuk mengerjakan ibadat malah meningkatkan nafsu. Kita juga tidak digalakkan banyak tidur pada siang hari sehingga hilangnya rasa lapar dan dahaga kerana ia akan melemahkan badan dan juga tidak mampu membersihkan hati. Apabila kurangnya tidur menyebabkan kita bertambah tenaga untuk memudahkan beribadat dan bangun malam setelah kita turut mengurangkan makan. Setelah lakukan perkara ini dengan cermat dan bertanggungjawab maka barulah dirasai betapa hebatnya kesan ibadat puasa yang sebenar pada diri kita.

Ingatlah bahawa makan terlalu banyak itu akan membawa kepada enam keburukan iaitu yang pertamanya akan hilang perasaan takut kepada Allah daripada hatinya. Kedua akan hilang rasa belas kasihan kepada makhluk Allah yang lain kerana dia sentiasa merasakan bahawa semua makhluk yang lain turut merasa kenyang sepertinya. Ketiga akan merasakan begitu malas dan berat untuk mendirikan amal ibadat. Keempat tidak merasa sesuatu apa-apa pun apabila mendengar kata-kata atau nasihat yang berhikmat dan berguna.Kelima apabila dia bercakap dan menasihati orang lain walau pun dengan penuh hikmat tetapi tidak meresap ke dalam hati sanubari mereka. Keenam makan yang banyak akan mendatangkan banyak penyakit.

Keenam : Memastikan hati kita sentiasa terikat kepada perasaan antara khauf (takut) dengan raja' (terlalu mengharap) di mana hati kita sentiasa memainkan persoalan samada puasa kita diterima sebagai orang yang hampir kepada Allah atau pun ditolak kerana kita termasuk dalam golongan mereka yang cuai dalam beribadat. Perasaan ini hendaklah sentiasa datang setiap kali melakukan ibadat agar kita tidak mudah berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan disamping sentiasa memperbaiki segala kekurangan yang ada. Kita juga tidak merasa cukup dengan apa yang dikerjakan kerana terlalu bimbang ia akan ditolak sehingga timbul perasaan bersungguh dalam memastikan segala amal ibadat dibuat secara cermat dan baik. Kita juga tidak mudah berputus asa sehingga kecewa dalam beribadat kerana terlalu takut ia sentiasa ditolak oleh Allah.

Semoga segala syarat yang tersebut dapat dilakukan sebaiknya oleh kita dalam mengerjakan puasa pada siang hari dan mendirikan amalan sunat pada malam bulan ramadhan terutama dalam mengejar kelebihan malam Lailatul Qadar. Rugilah jika kita tidak merebut peluang keemasan ini setelah diberi peluang seluasnya oleh Allah.

KAFFARAH DALAM BULAN PUASA

Sebab dikenakan kaffarah

Rosak atau batal puasa disebabkan bersetubuh dalam bulan Ramadhan dengan syarat dia ingat dan tahu tentang haram melakukannya serta dia pula bukanlah orang yang bermusafir lebih daripada had yang dibolehkan rukhsah iaitu 2 marahalah.



Jika bersetubuh disebabkan perkara dibawah maka dia hanya diwajibkan menggantikannya (qadha') sahaja iaitu :

1. Lupa bahawa dia sedang berpuasa
2.Jahil tentang haramnya
3. Bersetubuh bukan dalam puasa Ramadhan
4. Batal puasanya disebabkan perkara lain secara sengaja sebelum bersetubuh tetapi ramai ulama' tetap mengharam dan mengenakan kaffarah semata-mata bersetubuh dalam bulan Ramadhan samada batal kerana bersetubuh ataupun batal dengan perkara lain dahulu secara sengaja sebelum bersetubuh.
5. Dia bermusafir yang mana lebih daripada 2 marhalah yang membolehkan dia berbuka.


Mereka yang diwajibkan kaffarah

Suami merupakan orang yang diwajibkan kaffarah dan tidak dikenakan ke atas isteri ataupun perempuan yang disetubuhi(hamba misalnya)sekalipun dia berpuasa. Ini adalah disebabkan orang yang menyetubuhi(suami) yang bersalah dan sesuailah Islam mengenakan ke atas mereka sahaja kewajipan kaffarah.

Kadar Kaffarah


Kaffarah yang dikenakan ke atas mereka yang rosak atau batal puasa ramadhan disebabkan bersetubuh adalah membebaskan hamba yang beriman samada hamba lelaki ataupun perempuan. Sekiranya tiada ataupun dia tidak mampu maka diwajibkan berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sekiranya dia masih tidak mampu untuk berbuat demikian maka dia diminta memberi makan 60 orang miskin yang mana setiap daripada mereka secupak beras. Sekiranya dia masih tidak mampu untuk menunaikannya maka zimmah ataupun kewajipan untuk menunaikan salah satu kaffarah tersebut berada atas bahunya untuk ditunaikan selepas dia mampu berbuat demikian. Dalil yang berkaitan dengan hukum ini diambil daripada hadis Rasullah S.A.W ketika menyelesaikan masalah seorang lelaki yang mengadu kepada baginda S.A.W mengenai masalahnya yang melakukan persetubuhan pada bulan Ramadhan. Rasulullah S.A.W telah menyelesaikan masalah itu sebagaimana hukum yang tersebut di atas.

Perlu diketahui juga di mana wajib ke atas orang yang melakukan persetubuhan itu menunaikan kaffarah disamping menggantikan hari yang mana dia bersetubuh. Kaffrah akan berganda mengikut bilangan hari yang mana dia melakukan kesalahan bersetubuh.

Semoga peringatan dan catatan ringkas ini mampu menguraikan beberapa kemusykilan yang ada.

Sumber: sini

Labels:

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home