Sunday, August 22, 2010

Kesalahan dalam solat...



"SEMBAHYANG adalah amalan pertama yang dihisab Allah pada akhirat nanti. Jika sembahyang seseorang baik, baiklah pula seluruh amalannya dan begitu sebaliknya.

Sembahyang perlu dipelihara sebaik-baiknya. Antara kesalahan yang selalu dilakukan berkaitan sembahyang adalah:

1. Meninggalkan sembahyang.

Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan al-Quran, sunnah dan ijmak.

Allah berfirman bermaksud Apakah yang membuat kalian masuk ke dalam Neraka Saqar?' Mereka menjawab (Kerana) kami dulu tidak termasuk orang yang mendirikan solat. (Surah al-Muddatstsir, ayat 4)

Rasulullah saw bersabda Perjanjian antara kami dengan mereka adalah solat, barang siapa meninggalkannya maka dia kafir. (Hadis riwayat Ahmad dan lainnya).

2. Melengah-lengahkan solat.

Firman Allah bermaksud : Sesungguhnya solat itu wajib atas orang beriman dalam waktu yang sudah ditentukan." (Surah an-Nisa, ayat 103)

Oleh itu, melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang dibolehkan syarak adalah berdosa besar.

Rasulullah bersabda: "Itu adalah solat orang munafik. Dia duduk menunggu matahari, sampai jika matahari sudah berada antara dua tanduk syaitan (hendak tenggelam) dia berdiri dan menukik empat rakaat, sedangkan dia tidak mengingat Allah dalamnya kecuali sedikit." (Hadis riwayat Muslim).

3. Meninggalkan solat berjemaah.

Solat berjemaah adalah wajib kecuali bagi orang yang memiliki uzur yang
dibolehkan syarak. Sabda Rasulullah bermaksud: "Siapa yang mendengarkan seruan azan tetapi tidak memenuhinya maka tidak ada solat baginya, kecuali kerana uzur." (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Allah berfirman, maksudnya: "Dan rukuklah bersama orang yang rukuk." (Surah al-Baqarah, ayat 43).

Rasulullah bersabda: "Kemudian aku mengutus (utusan) kepada orang yang tidak solat berjemaah, hingga aku bakar rumah mereka." (Muttafaq Alaih).

4. Tidak thuma'ninah dalam solat.

Thuma'ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya. Thuma'ninah ertinya tenang ketika sedang rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud.

Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, tidak tergesa-gesa dalam penggantian dari satu rukun ke rukun lainnya.

5.Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat.

6. Mendahului atau menyelisihi imam. Hal ini boleh menyebabkan solat batal.

Makmum hendaklah mengikuti imam, tidak mendahului atau terlambat.
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya diadakannya imam itu untuk diikuti, kerana itu jika dia bertakbir, bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir sampai dia bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan kalian rukuk sampai dia rukuk..." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

7. Bangun dari duduk untuk menyempurnakan rakaat sebelum imam selesai dari salam kedua.

8. Memandang ke langit (atas) atau menoleh ke kiri dan ke kanan ketika solat.

Hal ini diperkatakan Rasulullah dalam sabdanya: "Hendaklah orangmu berhenti daripada mendongakkan pandangannya ke langit ketika solat atau Allah tidak mengembalikan pandangannya kepada mereka." (Hadis riwayat Muslim).

"Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

9. Mengenakan pakaian nipis yang tidak menutupi aurat.

Hal ini membatalkan solat kerana menutup aurat adalah syarat sah solat.

10. Tidak memakai tudung dan menutupi telapak kaki bagi wanita kerana aurat wanita dalam solat adalah seluruh tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan.

Ummu Salamah ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau menjawab:
"Hendaknya dia solat dengan kerudung, dan baju kurung panjang yang menutupi kedua-dua telapak kakinya."

11. Melintas di depan orang yang sedang solat.

Rasulullah bersabda: "Seandainya orang yang lalu di depan orang solat itu mengetahui dosanya, tentu berhenti (menunggu) empat puluh (tahun) lebih baik baginya daripada melintas di depannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

12. Tidak melakukan takbiratul ihram ketika mendapati imam sedang rukuk.
Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan dalam keadaan
berdiri, baru kemudian mengikuti imam yang sedang rukuk.

13. Tidak langsung mengikuti keadaan imam ketika masuk masjid.
Orang yang masuk masjid hendaknya langsung mengikuti imam, baik ketika itusedang duduk, sujud atau lainnya.

Rasulullah bersabda Jika kalian datang untuk solat dan kami sedang sujud, maka sujudlah! (Hadis riwayat Abu Daud).

14. Melakukan sesuatu yang melalaikan daripada solat seperti menonton televisyen dan bersembang.

Allah berfirman, maksudnya: "Wahai orang beriman, janganlah hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu daripada mengingat Allah, barang siapa melakukan demikian maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Munafiqun, ayat 9).

15. Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa keperluan.
Seperti diriwayatkan Ibnu Qayyim berkata, Nabi tidak mencontohkan solat dengan memejamkan mata.

Tetapi, jika memejamkan mata diperlukan, misalnya, kerana di hadapannya ada lukisan atau sesuatu yang menghalangi kekhusyukannya maka hal itu tidak makruh.

16. Tidak melurus atau merapatkan barisan ketika berjemaah.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Kalian mahu meluruskan barisan kalian atau Allah akan membuat perselisihan antara hati kalian." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

17. Tidak memperhatikan sujud dengan tujuh anggota.

Nabi Muhammad saw bersabda: "Kami diperintahkan untuk sujud dengan tujuh anggota; kening dan beliau mengisyaratkan dengan tangannya sampai ke hidungnya, dua tangan, dua lutut dan dua telapak kaki." (Muttafaq Alaih)

Labels:

Thursday, July 29, 2010

FIQH RAMADHAN

SYARAT SEMPURNA RAMADHAN

Sebagaimana maklum bahawa orang yang berpuasa ini terbahagi kepada tiga darjat iaitu puasa orang awam, puasa orang khusus dan puasa orang yang lebih khusus. Puasa bagi orang awam ialah dia hanya menahan perut dan kemaluannya daripada mengikut kehendak nafsu syahwat yang membatalkan puasa. Puasa bagi orang khusus ialah menahan pendengaran, penglihatan, percakapan, tangan, kaki serta seluruh anggota badannya daripada melakukan maksiat. Manakala puasa yang paling sempurna ialah puasa orang yang lebih khusus daripada golongan para nabi, siddiqin dan muqarrabin kepada Allah di mana mereka bukan sahaja berpuasa segala anggota badannya malah hati mereka turut berpuasa daripada mengingati dunia sehingga mereka tenggelam dalam mengingati hanya kepada Allah dan mengenang nasib mereka di akhirat. Mereka tidak berfikir masalah dunia melainkan sebagai perantaraan dalam mengingati hari akhirat. Puasa ini memang susah dicapai tetapi tetap diusahakan dalam menggapainya demi mengejar kebahagian yang hakiki di akhirat yang kekal abadi.

Di sini akan dijelaskan mengenai syarat yang perlu dijaga dan dilakukan bagi mencapi puasa orang yang khusus iaitu puasa bagi hamba-hamba Allah yang soleh bagi menghindari diri kita daripada hanya setakat berpuasa sebagaimana orang awam yang tidak menjanjikan perubahan dan keinsafan ke arah menjadi hamba Allah yang bertaqwa malah ditakuti kita hanya berpuasa untuk menahan lapar dan dahaga sahaja sedangkan segala amalan kita tidak mempunyai nilai walau pun sedikit di sisi Allah Azza wa jalla.Syarat yang mesti dibuat oleh kita dalam mencapai puasa khusus ini ialah sebagaimana di bawah :

Pertama : Menunduk dan menahan mata daripada melihat perkara yang tercela dan dimurkai Allah disamping menjaganya daripada melihat perkara yang melalaikan hati daripada mengingati Allah. Hadis yang dikeluarkan oleh al-Hakim di mana nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Pandangan itu merupakan anak panah beracun daripada anak-anak panah iblis. Sesiapa yang meninggalkannya (pandangan) kerana takut kepada Allah maka Allah akan anugerahkannya keimanan yang terdapat kemanisan iman dalam hatinya.

Kedua : Menjaga lidah daripada menipu, mengumpat, mencela, mengutuk, memburukkan orang lain atau melaga-lagakan mereka serta menyanyi nyanyian yang melalaikan diri kita daripada mengingati Allah. Kita hendaklah senyap dan memperbanyakkan mengingati Allah dan banyak membaca Al-Quran serta berzikir.Ingatlah lidah itu lebih bahaya daripada mata pedang di mana kerana tersilap kata menyebabkan masalah besar akan timbul. Lidah antara anugerah Allah yang mesti diguna dengan sebaiknya bukan bertujuan dipakai sesuka hati.Jika bercakap itu perak maka diam itu adalah emas. Banyak bercakap akan lebih banyak membongkarkan kelemahan dan kecetekan ilmu seseorang. Jika kita dikutuk maka katakanlah bahawa aku berpuasa. Mereka yang mengata sesuatu yang buruk terhadap seseorang maka seolah-olah dia memberikan pahalanya kepada orang yang dikata disamping menambah bebanan dosa orang yang dikata untuk dipikul atas bahunya. Tergamakkah kita memakan daging saudara seislam kita. Oleh itu kawallah percakapan seharian kita.

Ketiga : Menahan pendengaran daripada mendengar perkara yang dilarang kerana setiap apa yang diharamkan mengeluarkannya daripada mulut maka ia turut diharamkan daripada mendengarnya. Sebab itulah Allah menyamakan mereka yang mendengar perkara maksiat dengan mereka yang memakan perkara haram. Maksud firman Allah dalam ayat 42 surah al-Maidah : Mereka itu adalah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram........ . Oleh sebab itulah disamping kita tidak mendengar orang yang mengumpat dan sebagainya maka kita juga hendaklah menegahnya daripada berbuat demikian.

Keempat : Menahan segala anggota yang lain iaitu tangan dan kaki daripada maksiat dan dosa serta menahan perut daripada memakan perkara syubhat atau haram ketika berbuka. Apa gunanya sepanjang hari dia boleh menahan diri daripada memakan perkara halal dan haram tetapi ketika berbuka dia sanggup memakan perkara yang haram. Dia seumpama si sakit yang tidak mahu makan ubat yang terlalu banyak kerana takut memberi kesan buruk pada dirinya tetapi dalam masa yang sama dia memakan racun walau pun sedikit. Tujuan puasa untuk memastikan kita sentiasa menghindari daripada memakan perkara yang haram disamping melatih diri kita untuk mengurangkan pemakanan ketika makan walau pun ia halal kerana makanan yang halal akan turut memberi kesan buruk pada diri kita jika dimakan terlalu banyak bukannya ia merbahaya disebabkan jenisnya. Dengan melatih diri kita agar menjauhi makanan yang halal sepanjang berpuasa akan menyebabkan timbulnya kesedaran dan sikap berhati-hati ketika mahu makan agar tidak terlalu banyak dan juga terhindar daripada perkara haram. Nasai'e dan Ibnu Majah meriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud : Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.

Kelima : Tidak terlalu banyak makan sekali pun halal sehingga tersumbat lubang pernafasannya kerana Allah begitu murka mereka yang terlalu banyak makan.Ingatlah bahawa satu pertiga perut kita untuk makanan, satu pertiga untuk minuman manakala satu pertiga lagi untuk udara atau pernafasan. Kita tidak mahu nafsu makan kita dapat ditahan sepanjang berpuasa tetapi apabila berbuka kita melayan atau terlalu mengikut nafsu makan sehingga terlalu kenyang malah banyak yang membazir. Jika pada bulan-bulan biasa kita hanya berbelanja setakat keperluan tetapi kebanyakannya pada bulan puasa perbelanjaan sentiasa meningkat demi memuaskan nafsu makan yang membuak-buak sehingga makan yang tidak mampu atau tidak pernah dimakan pada bulan biasa turut dibeli untuk menjamu nafsu makan. Inilah yang membahaya dan mencacatkan ibadat puasa yang mengajar mujahadah dan kesungguhan dalam menjaga makan minum tetapi yang terjadi pada kita adalah sebaliknya. Latihlah diri kita untuk menahan dan mengurangkan makan pada bulan puasa dan seterusnya pada bulan yang lain. Banyak makan menyebabkan kita mudah letih dan mengantuk yang membawa kepada kurangnya mengingati Allah dan susah untuk mengerjakan ibadat malah meningkatkan nafsu. Kita juga tidak digalakkan banyak tidur pada siang hari sehingga hilangnya rasa lapar dan dahaga kerana ia akan melemahkan badan dan juga tidak mampu membersihkan hati. Apabila kurangnya tidur menyebabkan kita bertambah tenaga untuk memudahkan beribadat dan bangun malam setelah kita turut mengurangkan makan. Setelah lakukan perkara ini dengan cermat dan bertanggungjawab maka barulah dirasai betapa hebatnya kesan ibadat puasa yang sebenar pada diri kita.

Ingatlah bahawa makan terlalu banyak itu akan membawa kepada enam keburukan iaitu yang pertamanya akan hilang perasaan takut kepada Allah daripada hatinya. Kedua akan hilang rasa belas kasihan kepada makhluk Allah yang lain kerana dia sentiasa merasakan bahawa semua makhluk yang lain turut merasa kenyang sepertinya. Ketiga akan merasakan begitu malas dan berat untuk mendirikan amal ibadat. Keempat tidak merasa sesuatu apa-apa pun apabila mendengar kata-kata atau nasihat yang berhikmat dan berguna.Kelima apabila dia bercakap dan menasihati orang lain walau pun dengan penuh hikmat tetapi tidak meresap ke dalam hati sanubari mereka. Keenam makan yang banyak akan mendatangkan banyak penyakit.

Keenam : Memastikan hati kita sentiasa terikat kepada perasaan antara khauf (takut) dengan raja' (terlalu mengharap) di mana hati kita sentiasa memainkan persoalan samada puasa kita diterima sebagai orang yang hampir kepada Allah atau pun ditolak kerana kita termasuk dalam golongan mereka yang cuai dalam beribadat. Perasaan ini hendaklah sentiasa datang setiap kali melakukan ibadat agar kita tidak mudah berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan disamping sentiasa memperbaiki segala kekurangan yang ada. Kita juga tidak merasa cukup dengan apa yang dikerjakan kerana terlalu bimbang ia akan ditolak sehingga timbul perasaan bersungguh dalam memastikan segala amal ibadat dibuat secara cermat dan baik. Kita juga tidak mudah berputus asa sehingga kecewa dalam beribadat kerana terlalu takut ia sentiasa ditolak oleh Allah.

Semoga segala syarat yang tersebut dapat dilakukan sebaiknya oleh kita dalam mengerjakan puasa pada siang hari dan mendirikan amalan sunat pada malam bulan ramadhan terutama dalam mengejar kelebihan malam Lailatul Qadar. Rugilah jika kita tidak merebut peluang keemasan ini setelah diberi peluang seluasnya oleh Allah.

KAFFARAH DALAM BULAN PUASA

Sebab dikenakan kaffarah

Rosak atau batal puasa disebabkan bersetubuh dalam bulan Ramadhan dengan syarat dia ingat dan tahu tentang haram melakukannya serta dia pula bukanlah orang yang bermusafir lebih daripada had yang dibolehkan rukhsah iaitu 2 marahalah.



Jika bersetubuh disebabkan perkara dibawah maka dia hanya diwajibkan menggantikannya (qadha') sahaja iaitu :

1. Lupa bahawa dia sedang berpuasa
2.Jahil tentang haramnya
3. Bersetubuh bukan dalam puasa Ramadhan
4. Batal puasanya disebabkan perkara lain secara sengaja sebelum bersetubuh tetapi ramai ulama' tetap mengharam dan mengenakan kaffarah semata-mata bersetubuh dalam bulan Ramadhan samada batal kerana bersetubuh ataupun batal dengan perkara lain dahulu secara sengaja sebelum bersetubuh.
5. Dia bermusafir yang mana lebih daripada 2 marhalah yang membolehkan dia berbuka.


Mereka yang diwajibkan kaffarah

Suami merupakan orang yang diwajibkan kaffarah dan tidak dikenakan ke atas isteri ataupun perempuan yang disetubuhi(hamba misalnya)sekalipun dia berpuasa. Ini adalah disebabkan orang yang menyetubuhi(suami) yang bersalah dan sesuailah Islam mengenakan ke atas mereka sahaja kewajipan kaffarah.

Kadar Kaffarah


Kaffarah yang dikenakan ke atas mereka yang rosak atau batal puasa ramadhan disebabkan bersetubuh adalah membebaskan hamba yang beriman samada hamba lelaki ataupun perempuan. Sekiranya tiada ataupun dia tidak mampu maka diwajibkan berpuasa selama dua bulan berturut-turut. Sekiranya dia masih tidak mampu untuk berbuat demikian maka dia diminta memberi makan 60 orang miskin yang mana setiap daripada mereka secupak beras. Sekiranya dia masih tidak mampu untuk menunaikannya maka zimmah ataupun kewajipan untuk menunaikan salah satu kaffarah tersebut berada atas bahunya untuk ditunaikan selepas dia mampu berbuat demikian. Dalil yang berkaitan dengan hukum ini diambil daripada hadis Rasullah S.A.W ketika menyelesaikan masalah seorang lelaki yang mengadu kepada baginda S.A.W mengenai masalahnya yang melakukan persetubuhan pada bulan Ramadhan. Rasulullah S.A.W telah menyelesaikan masalah itu sebagaimana hukum yang tersebut di atas.

Perlu diketahui juga di mana wajib ke atas orang yang melakukan persetubuhan itu menunaikan kaffarah disamping menggantikan hari yang mana dia bersetubuh. Kaffrah akan berganda mengikut bilangan hari yang mana dia melakukan kesalahan bersetubuh.

Semoga peringatan dan catatan ringkas ini mampu menguraikan beberapa kemusykilan yang ada.

Sumber: sini

Labels:

Friday, July 16, 2010

Solat untuk kesihatan


BEGITU hebat rahsia di sebalik ibadah solat yang umat Islam lakukan setiap hari.

Solat bukan ibadat biasa, tetapi ia manifestasi hebat yang dianugerahkan kepada manusia - zahir dan batin.

Jangan terkejut amalan solat yang dilakukan setiap hari adalah terapi paling berkesan merawat pelbagai penyakit berbahaya.

Kajian saintifik membuktikan kesahihan perkara itu. Penyakit berpunca daripada makanan kita makan setiap hari dan tabiat buruk yang diamalkan. Dalam soal pemakanan, Nabi Muhammad s.a.w adalah manusia yang amat teliti dan bijak mengatur pola makanan seharian.

Nabi Muhammad turut menekankan ibadah yang pintar bermula dengan wuduk yang menyimpan 1001 rahsia.

Melalui wuduk, kesihatan bertambah baik, wajah berseri-seri dan tampak awet muda jika dilaksanakan dengan sempurna.

Dalam buku 365 Tip Sihat Gaya Rasulullah karya Dr Mohammad Ali Toha, Prof Dr Syahathah dari Fakulti Perubatan, Universiti Alexandria, Mesir membuat kajian bahawa 'istinsyaq' atau memasukkan air melalui hidung ketika berwuduk membersihkan hidung daripada kuman.

Cara melakukannya ialah dengan memasukkan air seperti menarik nafas dengan kekuatan sederhana kemudian mengeluarkan air itu dengan hembusan yang kuat.

Kaedah itu jika dilakukan dengan sempurna mampu mencegah 17 penyakit berbahaya, antaranya mata, telinga kulit, radang kerongkong, batuk dan penyakit paru-paru dan penyakit mental. Percayalah, jika Allah memerintahkan sesuatu ibadah itu, pasti ada hikmah dan manfaat kepada manusia.

Apakah kesan langsung dalam setiap pergerakan yang dilakukan ketika kita menunaikan solat lima waktu? Di dalam sebuah kitab fiqh ada menyentuh mengenai solat iaitu Muniyatul Musalli. Ia menggambarkan solat adalah persembahan terbaik kepada Khaliq (Allah).

Solat yang tidak khusyuk ibarat persembahan hadiah yang tidak bernilai. Justeru, setiap Muslim perlu mempunyai hati yang bersih bagi khusyuk dalam solat.

Pernahkah kita berfikir mengapa perintah bersolat lebih awal dari ibadat puasa atau amalan lain? Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah memberikan perintah bersolat kepada Nabi Muhammad s.a.w. secara terus tanpa perantaraan sesiapa di Sidratul Muntaha. Kelebihan bersolat dibuktikan sendiri Rasulullah, apabila ditimpa kesukaran dan kesedihan, Baginda akan berkata kepada Bilal: "Tenteramkanlah hatiku, wahai Bilal." Maka Bilal pun mengalunkan azan. Kemudian mereka mengerjakan solat secara berjemaah.

Pakar perubatan mengakui solat yang khusyuk adalah amalan meditasi yang ideal. Bacaan dalam solat menyebabkan manusia berada dalam keadaan antara jaga dan tidur.

Cuba praktikan kepada diri sendiri, apabila menghadapi masalah, kerjakan solat sunat dua rakaat dan lihat hasilnya.

Malah, pergerakan dalam solat mempunyai maksud penghambaan kepada Allah apabila dilakukan dengan fokus dan toma'ninah.

Ia lebih mujarab jika kita memahami setiap bacaan dalam solat. Memang bukan mudah untuk khusyuk dalam solat kerana syaitan sering mengganggu dan melalaikan manusia.

Oleh itu, Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan kita jangan tidur selepas makan, tetapi berzikir dan bersolat.

Diceritakan, suatu hari Abu Hurairah sakit perut lalu Nabi berkata: "Bangkit dan bersolatlah kerana sesungguhnya ada perubatan dalam solat." Menurut kajian penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya (UM) solat boleh merawat pelbagai penyakit kronik.

Ketua Penyelidiknya, Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim, berkata setiap gerakan solat mempunyai manfaat besar yang mampu meningkatkan kesihatan manusia secara optimum. "Hasil kajian membuktikan gerakan dalam solat seperti berdiri betul, takbiratul ihram, iktidal, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tahiyat menyamai senaman ringan.

"Solat yang lengkap lima kali sehari semalam, memahami makna bacaan, rukuk dengan betul serta melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahiyat akhir akan mendapat komposisi tubuh yang baik.

"Berbeza dengan mereka yang tidak melakukan perkara berkenaan komposisi tubuh mereka kurang baik," katanya.

"Keputusan kajian juga mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, melakukan rukuk pada kedudukan 90 darjah, sakit pinggang berkurangan," katanya. Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Jika kamu rukuk, letaklah kedua-dua tanganmu pada kedua-dua lututmu, kemudian renggangkanlah jari-jarimu, kemudian tenanglah sampai ruas tulang belakangmu mantap di tempatnya." (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Selain itu, pergerakan sujud pula membuatkan seseorang bukan saja menjadikan otot besar dan kuat, tetapi saluran darah seperti arteri, vena serta urat limfa akan terurus.

Kajian membuktikan apabila seseorang sujud rongga dada akan bertambah besar dan paru-paru akan berkembang dengan baik bagi menghirup udara bersih selain melancarkan pengaliran darah.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "Aku diarahkan untuk sujud di atas tujuh anggota sujud: di atas dahi dan Nabi menunjukkan ke arah dahinya (termasuk hidung) dan kedua-dua belah tangan dan kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) Dengan mengamalkan jari kaki membengkok ketika gerakan sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir mendapati ia mampu membakar lemak dalam badan selain mengurangkan risiko penyakit jantung.

Fatimah berkata setiap pergerakan dalam solat iaitu bermula dari berdiri tegak sehingga selesai memberi salam mempunyai kelebihan dan keistimewaan masing-masing. "Memberi salam ke kanan dan ke kiri adalah amalan baik bagi menyelesaikan masalah kerapuhan tulang tengkuk," katanya. Bagi Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas, solat yang dilaksanakan lima kali sehari cukup dijadikan asas senaman rutin. "Solat boleh dianggap senaman fizikal yang istimewa kerana di dalamnya mengandungi pergerakan yang menyamai senaman regangan otot.

"Ia memberi kesan positif terhadap psikologi, tulang otot dan serebral. Semasa bersolat, otot dan sendi turut bergerak," katanya. Sementara itu, seorang lagi penyelidik, Ng Siew Cheok menyifatkan ibadah solat yang dilakukan seorang Muslim menghasilkan keadaan otak yang tenang.

"Keadaan itu dicapai sebelum seorang itu bergerak untuk sujud. Selain itu, solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan seseorang. "Ketika toma'ninah (berhenti seketika) di dalam solat adalah waktu seseorang itu dijangkakan akan berada dalam keadaan tenang. Justeru, setiap perbuatan dalam solat perlu dilakukan dengan teratur dan tidak tergesa-gesa," katanya.

Kesimpulan, solat menyimpan 1001 rahsia yang perlu dikaji dan dipelajari kerana jika perintah itu datang dari Allah, pasti ia mempunyai kebaikan untuk manusia.


Sumber asal: MyMetro

Labels:

Wednesday, June 2, 2010

siapa itu yahudi?


Sumber : YAHUDI Menunggu Kehancuran Suatu Fakta Al?Quran
Diterjemahkan Oleh : Abd. Hakam Jaafar
Terbitan : Aman Palestin Berhad
Rumusan Oleh : Mohd Amirul Asyraf Mohd Hanaffi

PENDIRIAN KITA TENTANG SEJARAH BANI ISRAEL
Mungkin ramai antara kita yang tidak menyedari bahawa Al-Quran menuntut kita melihat sejarah Bani Israel dari sudut dan kaca mata yang betul dan dibenarkan di dalam Islam. Kita tidak boleh terus menerima bahawa semua insan yang berbangsa Israel itu jahat dan zalim kerana nabi-nabi Allah yang terdahulu adalah berbangsa Israel dan ada dalam kalangan bangsa ini yang betul-betul beriman kepada Allah S.W.T. Sebab itulah Al?Quran tidak menolak Bani Israel secara total dan kita mestilah jelas berkenaan hal ini.

Sebenarnya semua orang Yahudi dipandang mulia dan agung sejak zaman Ya’qub a.s (Israel ialah nama lain baginda). Mereka pada hakikatnya adalah bangsa pilihan Allah. Namun keengkaran dan kekufuran sebahagian besar mereka telah membuatkan mereka dilaknat oleh Allah sehinggakan mendapat gelaran Yahudi untuk menggantikan nama Israel sebagaimana termaktub di dalam Al Qur'an.

Pandangan Al Quran yang berilmiah, bermetodologi dan berobjektif menuntut kita menilai Bani Israel dari sudut pandangan iman dan taqwa mereka. Seorang muslim yang beriman merupakan peribadi yang dipuji dan disanjung oleh Al?Quran tanpa melihat warna kulit, negara asal mahupun bangsa mereka (meskipun mereka berbangsa Israel).

Oleh hal yang demikian, Al-Quran telah membahagikan Bani Israel kepada dua golongan. Golongan pertama ialah golongan yang mukmin, soleh dan terpuji disisi Allah S.W.T. Golongan yang kedua pula ialahgolongan yang kafir, zalim, ingkar, pengkhianat dan dilaknat oleh Allah S.W.T. Sesungguhnya di dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang mencela Bani Israel yang kafir, engkar dan zalim. Golongan ini ialah golongan yang telah mendustakan para nabi serta kufur terhadap wahyu dan perjanjian yang telah dibawa oleh Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al?Baqarah ayat 87-88 maksudnya:
“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi pula kemudiandaripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap?tiap kali datang kepadamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombongtakbur (menolaknya), sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya? Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam).” (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.”

Petikan ayat di atas dengan jelas menerangkan kepada kita akan adanya dua golongan dalam Bani Israel itu sendiri dan turut dijelaskan bahawa golongan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah daripada kalangan mereka amatlah sedikit bilangannya.


JANGAN UNGKAP KERAJAAN ‘ISRAEL’

Sama ada kita sedar ataupun tidak, nama Israel telah dimanipulasikan oleh golongan Yahudi laknatullah. Mereka cuba mengaitkan bangsa mereka dengan Nabi Allah Ya’qub a.s yang merupakan seorang rasul yang mulia. Perkara ini supaya kononnya Allah S.W.T akan meredhai hidup mereka sebagai kelompok manusia istimewa di muka bumi ini sebagaimana Allah telah muliakan nabi Ya’qub a.s yang digelar Israel oleh Allah Azzawajalla.

Hakikatnya, mereka tidak layak menggelar diri mereka dengan nama Israel. Kita yang bukan berbangsa Yahudi pula, terutamanya sebagai umat Islam perlu bertanggungjawab dengan tidak menggunakan nama ‘Israel’ dalamapa jua perkara yang merujuk kepada mereka. Negara Israel, kerajaan Israel, Bank Israel, tentera Israel dan sebagainya sepatutnya digantikan dengan panggilan Negara Yahudi, kerajaan Yahudi, bank Yahudi dan tentera Yahudi.

Selain sebab yang telah dinyatakan di atas, Yahudi juga mempunyai sebab lain mengapa mereka menggelar diri mereka Israel. Antaranya adalah untuk meraih simpati dan mendapat sokongan individu?individu berbangsa Yahudi yang menetap di seluruh dunia untuk berhijrah ke Palestin. Sokongan ini penting atas sebab yang berikut. Dalam pembinaan sebuah negara, rakyat adalah satu komponen yang sangat penting. Maka, Yahudi menggunakan entiti Israel yang kononnya menjulang agama dan kitab Taurat untuk mengumpulkan rakyat.

Mereka percaya penganut agama Kristian akan menyokong penubuhan negara Yahudi ini kerana mereka beriman kepada Injil dan Taurat yang menjadi kitab bagi Bani Israel sejak dahulu lagi. Maka, Yahudi mendakwa bahawa kedatangan mereka ke Palestin adalah untuk merealisasikan isi kandungan Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru.

Taurat ialah kitab Perjanjian Lama (Old Testament) manakala Injil ialah Perjanjian Baru (New Testament). Kononnya sokongan penganut agama Kristian ini terhadap entiti Yahudi di Palestin adalah tuntutan iman lantas menjadi tanggungjawab mereka untuk melaksanakannya. Begitulah permainan Yahudi dalam memancing kerjasama penganut Kristian di seluruh dunia. Lebih malang lagi, permainan dan tipu helah itu berjaya dan kelompok Kristian Barat berlumba?lumba menolong Yahudi. Selain faktor agama, mereka sengaja menjadikan Yahudi sebagai sekutu mereka untuk menentang Muslim dan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Mengapakah Yahudi bersungguh-sungguh mengaitkan diri mereka dengan Yahudi? Siapakah Israel sebenarnya? Israel ialah seorang nabi yang mulia dan dikasihi oleh Allah S.W.T. Baginda merupakan salah seorang nabi Allah dan namanya ialah Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim a.s. Rujuk firman Allah S.W.T dalam Surah Maryam ayat 58. Sekali lagi, Israel adalah nabi dari golongan susur galur keluarga nabi-nabi Allah yang mulia. Hal inilah yang menarik minat Yahudi untuk menggunakan nama Israel. Ibrahim a.s ialah ayahanda kepada para nabi. Ia ibarat sebatang pokok kepada dua dahan kenabian iaitu Israel dan Ismail. Dahan pertama, dahan kenabian Ismail ini diakhiri oleh penamat segala nabi, Nabi Muhammad S.A.W. Dahan kenabian Israel pula terdiri daripada para nabi Bani Israel iaitu Ishaq, Ya’qub (Israel) dan Yusuf a.s.

Salasilah ini merupakan salasilah yang diberkati dan mulia. Bermula daripada datuk hinggalah ke cucunya, mereka adalah nabi-nabi Allah. Nabi Bani Israel pula semuanya daripada keturunan Ya’qub (Israel) seperti Musa, Harun,Daud, Sulaiman, Ilyas, Ilyasa’ Zulkifli, Zakariya, Yahya dan Isa a.s.

Kenapakah dinamakan Ya’qub dengan Israel? Ya’qub dan Israel sebenarnya bukan nama Arab tetapibahasa Ibrani. Walau bagaimanapun kita tidak ada ilmu untuk membahaskan sebab kenapa baginda diberi dua nama berkenaan. Kita tidak mengetahui apakah hikmah Allah menamakan baginda sedemikian tetapi apa yang penting memang jelas berdasarkan ayat-ayat al-Quran bahawa Allah memanggil baginda dengan nama Ya’qub dan Israel.

Di dalam kitab Taurat yang telah diselewengkan, golongan kafir laknatullah telah mereka satu cerita yang sangat tidak masuk akal mengenai penggunaan nama Israel kepada Ya’qub. Ceritanya ialah, pada suatu hari, Ya’qub telah berjalan di sebatang jalan sewaktu fajar sedang menyingsing. Tiba-tiba Tuhan telah turun ke dunia di hadapannya. Lantas mereka berbicara dan berlawan. Akhirnya Ya’qub berjaya menewaskan Tuhan. Kemudian mereka berlawan buat kali kedua dan ketiga dan Tuhan kalah kepada Ya’qub tiga kali berturut-turut dan Ya’qub berada di atas Tuhan. Kerana takut dilihat oleh manusia akan hal itu, Tuhan merayu meminta Ya’qub melepaskannya sebelum masuk waktu Subuh. Kononnya, Tuhan takut maruahnya akan jatuh. Maka, dipendekkan cerita nama Israel yang mulia dianugerahkan kepada Ya’qub kerana berjaya mengalahkan Tuhan. Sesungguhnya satu perkara yang sangat tidak masuk akal dan kita sebagai muslim mesti menentang cerita karut marut yang tidak benar ini.

Siapakah Bani Israel? Mereka ialah anak?anak Ya’qub a.s dan Allah S.W.T telah mengurniakan baginda 12 orang anak. Mereka ialah nabi Yusuf a.s dan adik beradiknya. 12 saudara ini tinggal di Mesir dan daripada mereka berkembangnya 12 kabilah Bani Israel. Nama dan gelaran ini kekal sehinggalah kebangkitan nabi Muhammad S.A.W. Kemudian, selepas kebangkitan Rasulullah S.A.W, Allah memanggil mereka dengan nama Yahudi kerana mereka kufur dan enggan beriman dengan Muhammad S.A.W.

Ringkasnya, ‘Yahud’ bukanlah perkataan Arab dan ia sebenarnya khusus untuk bangsa yang kafir dan dilaknat oleh Allah S.W.T. Sebab itulah perkataan al?Yahud (Yahudi) hanya terdapat di dalam surah dan ayat yang telah diturunkan di Madinah sahaja dan bukannya yang diturunkan di Mekah. Malah, dalam ayat?ayat berkenaan pula, nama Yahudi merujuk kepada ungkapan kejian dan murka Allah, bukannya pujian. Peralihan dari penggunaan Israel kepada nama al?Yahud ini merupakan satu kaedah gaya bahasa al?Quran yang merupakan satu pendekatan membezakan dua nama, Yahudi dan Israel.

Sebenarnya apabila Al-Quran mencabut dan membatalkan daripada mereka nama Bani Israel, Allah ingin merentap daripada mereka perwarisan daripada Ibrahim a.s dan Israel (Ya’qub) a.s. Meskipun mereka daripada keturunan Israel, mereka tidak layak mewarisi keturunan Bani Israel kerana mereka tidak beriman dengan agama Ya’qub a.s.

Kesimpulannya, Yahudi bukanlah Israel dan begitulah juga sebaliknya. Sebagai penutup, kita hendaklah percaya bahawa segala yang terkandung di dalam Al-Quran adalah benar dan sahih serta menjadi petunjuk dan panduan kepada seluruh umat Islam sehinggalah ke hari Kebangkitan, hari Kiamat kelak. Kita mesti sama?sama berjuang dan hidup berpandukan Al?Quran dan Al-hadis. Jangan kita takut akan musuh kita Yahudi mahupun sesiapa sahaja kerana masa depan adalah milik umat Islam maka kita mesti memasukkan diri kita dalam kumpulan yang berjihad kepada Allah walaupun jihad itu dalam apa jua bentuk sekalipun.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 112 yang bermaksud:
“Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.”

Demikian ialah janji Allah bahawa kemenangan itu milik kita dan ia pasti tiba. Justeru, marilah sama-sama kita berjuang demi merealisasikan tuntutan dan janji Allah ini, Insya Allah. Semoga rahmat dan pertolongan Allah sentiasa bersama kita para mukmin yang berjuang.

Sumber: http://pembinaselangor.com

Labels: ,

Friday, May 28, 2010

"Merasa cukup.."



Cinta pada dunia dan ingin hidup dalam kemewahan, adalah salah satu penyebab yang boleh mengakibatkan hidup menjadi tidak tenteram. Orang yang cintakan dunia akan selalu terdorong untuk memburu segala keinginannya meskipun harus menggunakan cara yang licik, curang, korupsi, riba dan sebagainya. Semua itu kerana orang yang cinta dunia tidak pernah menyedari, sesungguhnya harta hanyalah ujian. Hingga dia tidak pernah merasa cukup dengan apa yang sudah dimilikinya dan masih selalu ingin menambahnya lagi dan ini adalah sikap yang sangat jauh dari rasa syukur kepada Allah SWT.

Kita, dalam meniti kehidupan ini, harus menyedari bahawa rezeki seseorang itu tidak bergantung kepada kecerdasan akal semata, kepada segala usaha dan penat lelah, keluasan ilmu, meskipun dalam sebahagiannya itu merupakan sebab puncanya rezeki, namun bukan ukuran secara pasti. Kesedaran tentang hal ini akan menjadikan seseorang bersikap Qana'ah, terutama ketika melihat orang yang kurang bijak, pendidikannya lebih rendah dan tidak berpengalaman mendapatkan rezeki lebih banyak daripada dirinya, sehingga tidak memunculkan sikap dengki dan iri.

Dalam urusan dunia hendaklah kita melihat kepada orang yang lebih rendah, jangan melihat kepada yang lebih tinggi, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w., “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah dari kamu dan janganlah melihat kepada orang yang lebih tinggi darimu. Yang demikian lebih layak agar kamu tidak meremehkan nikmat Allah.” (HR.al-Bukhari dan Muslim)

Sifat Qana'ah tidak bisa diperoleh kecuali dengan mujahadah (melawan) hawa nafsu dan dengan taufik Allah,

مَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللهُ

"Barangsiapa berusaha 'iffah (menghindar dari yang tidak terpuji) nescaya Allah menjadikannya 'iffah, dan barangsiapa yang merasa cukup nescaya Allah memberikan kecukupan kepadanya." (HR Bukhari)
Orang yang mempunyai sifat Qana'ah telah memagar hartanya sekadar apa yang dalam tangannya dan tidak menjalar fikirannya kepada yang lain.

Barangsiapa yang telah beroleh rezeki, dan telah dapat yang akan dimakan sesuap pagi sesuap petang, hendaklah tenangkan hati, jangan merasa ragu dan sepi. Kita tidak dilarang bekerja mencari penghasilan, tidak disuruh berpeluk tubuh dan malas lantaran harta telah ada, kerana yang demikian bukan qanaah, yang demikian adalah kemalasan. Bekerjalah, kerana manusia dilahirkan ke dunia untuk bekerja, tetapi tenangkan hati, yakinlah bahawa di dalam pekerjaan itu ada kalah dan menang. Jadi kita bekerja lantaran memandang harta yang telah ada belum mencukupi, tetapi bekerja lantaran untuk melenyapkan menganggur.

Maksud Qana'ah itu amatlah luas. Mempercayai dengan yakin akan adanya kekuasaan yang melebihi kekuasaan manusia, menyuruh sabar menerima ketentuan Ilahi jika ketentuan itu tidak menyenangkan diri, dan bersyukur jika dipinjamiNya nikmat, sebab entah terbang pula nikmat itu kelak. Dalam hal yang demikian disuruh bekerja, kewajipan belum berakhir. Kita bekerja bukan lantaran meminta tambahan yang telah sedia ada dan tak merasa cukup pada apa yang dalam tangan, tetapi kita bekerja, sebab prinsip orang hidup mesti bekerja. Itulah maksud Qana'ah.

Nyatalah salah persangkaan orang yang mengatakan qanaah ini melemahkan hati, memalaskan fikiran, mengajak berpeluk tubuh. Tetapi Qana'ah adalah modal yang paling teguh untuk menghadapi penghidupan, menimbulkan kesungguhan hidup yang betul-betul mencari rezeki. Jangan takut dan gentar, jangan ragu-ragu dan syak, mantapkan fikiran, teguhkan hati, bertawakal kepada Tuhan, mengharapkan pertolonganNya, serta tidak merasa kesal jika ada keinginan yang tidak berhasil, atau yang dicari tidak dapat.

Qana'ah, adalah tiang kekayaan yang sejati. Gelisah adalah kemiskinan yang sebenarnya. Tidak dapatlah disamakan lurah dengan bukit, tenang dengan gelisah, kesusahan dan kesukaan, kemenangan dan kekalahan, putus asa dan cita-cita. Tak dapat disamakan orang yang berjaya dengan orang yang muflis.

Keadaan-keadaan yang terpuji itu terletak pada Qana'ah, dan semua yang tercela ini terletak pada gelisah. Qana'ah seharusnya merupakan sifat dasar setiap muslim, kerana sifat tersebut dapat menjadi pengendali agar tidak surut dalam berputus asa dan tidak terlalu maju dalam keserakahan.

Muslim yang mempunyai sifat Qana'ah akan selalu berlapang dada, berhati tenteram, merasa kaya dan berkecukupan, bebas dari keserakahan, kerana pada hakikatnya kekayaan dan kemiskinan terletak pada hati bukan pada harta yang dimilikinya. Bila kita perhatikan ada orang pada zahirnya nampak berkecukupan bahkan mewah, namun hatinya penuh diliputi keserakahan dan kesengsaraan, sebaliknya ada juga orang yang sepintas lalunya seperti kekurangan namun hidupnya tenang, penuh kegembiraan, bahkan masih sanggup mengeluarkan sebahagian hartanya untuk kepentingan sosial.

Nabi SAW bersabda dalam salah satu hadisnya. Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Nabi SAW, "Bukanlah kekayaan itu banyak harta benda, tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan hati." (H.R.Bukhari dan Muslim)

Demikianlah betapa pentingnya sifat Qana'ah dalam hidup, yang apabila dimiliki oleh setiap orang dan diterapkan dalam kehidupan sehari-hari akan mendorong terwujudnya masyarakat yang penuh dengan ketenteraman, tidak cepat putus asa, dan bebas dari keserakahan, serta selalu berfikir positif dan maju.

Maka, secara keseluruhan sifat Qana'ah antara pengawal diri ini dengan tidak membawa kita kepada pembaziran yang berlebih-lebihan atau pun membawa kita kepada nilai kedekut atau kikir. Bersederhanaan dan bersyukur adalah kunci yang membawa kepada Qana'ah dalam kehidupan kita.

Siapapun yang ingin meraih ketenangan jiwa, kedamaian hati, maka qana’ah adalah jalannya. Kerana sesungguhnya, ketenangan hati ada dalam sedikitnya keinginan. Bila kita ingin meraih ketenangan hidup, marilah kita merasa cukup terhadap pemberian dan pengaturanNya.

Sekian moga ada manfaatnya.

~Jadilah engkau orang yang bersifat Qana'ah, nescaya engkau menjadi manusia yang paling bersyukur~


sumber & terima kasih kepada sahabat saya: saudara Abd Razak,
(perjalanan yang singkat)

Labels: