Wednesday, February 17, 2010

Cuaca panas: Kurangkan aktiviti luar


KUALA LUMPUR: Orang ramai terutama kanakkanak hari ini dinasihati supaya mengurangkan aktiviti luar semasa cuaca panas mula melanda Lembah Klang dan utara negara.

Pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Salleh menasihatkan ibu bapa supaya mengurangkan aktiviti luar anak masing-masing ketika fenomena cuaca panas ini berlaku.

"Ini kerana kanak-kanak lebih mudah mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa," katanya kepada Bernama.

Beliau juga meminta orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan seperti meminum banyak air dan membawa bekalan air yang mencukupi selain cuba mengelak diri daripada terlalu lama terdedah kepada terik matahari.

Sementara itu seorang jurucakap Jabatan Meteorologi Malaysia berkata cuaca panas kini merupakan fenomena biasa setiap tahun yang berlaku akibat Monsun Timur Laut berada pada peringkat akhir.

Menurutnya Monsun Timur Laut itu akan memasuki peralihan musim antara monsun, sebelum memasuki musim Monsun Barat Daya yang akan berlaku dari akhir bulan Mei hingga September.

"Cuaca panas ini merupakan fenomena biasa dan orang ramai tidak perlu bimbang," katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini mengenai cuaca panas di Lembah Klang dan utara Semenanjung yang dijangka akan berlarutan sehingga pertengahan bulan depan.

Beliau berkata satu lagi fenomena biasa iaitu ekuinoks dijangka akan berlaku dua kali; iaitu pada 20 atau 21 Mac dan 22 atau 23 Sept ini.

Katanya ekuinoks merupakan keadaan di mana matahari berada tepat di garisan Khatulistiwa dan merupakan fenomena biasa yang berlaku akibat putaran bumi mengelilingi matahari.

"Malaysia dijangka tidak akan mengalami perubahan suhu yang ketara semasa ekuinoks kecuali cuaca panas yang berlaku terutamanya pada waktu malam," katanya ketika dihubungi di sini.

Tahun lepas fenomena ekuinoks pada mulanya diramal akan melonjakkan suhu negara sehingga mencecah 40 darjah Celcius, namun ia tidak berlaku sebagaimana yang dijangka. BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home