Friday, October 22, 2010

Solat Berjamaah Satu Tuntutan



Solat berjemaah pada masa kini di dalam masyarakat kita hanya dijadikan sebagai upacara sempenaan tertentu sahaja seperti ada majlis-majlis rasmi dan keramaian atau dijadikan acara mingguan dan tahunan sahaja seperti solat Jumaat dan hari raya. Persoalaannya kenapa kebanyakan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal solat berjamaah serta beranggapan ianya tidak penting?!

Kepentingan solat lima waktu sememangnya diketahui umum oleh kita semua umat Islam, sehingga ia diletakkan pada kedudukan kedua dalam rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah dan disebut sebagai tiang agama.

Begitupun, keadaan umat Islam pada zaman ini yang sebahagiannya didapati sengaja mencuaikan perintah Allah ini, apatah lagi untuk menunaikannya secara berjemaah, adalah suatu hakikat yang amat menyedihkan hari ini.

Solat berjemaah pada masa kini di dalam masyarakat kita hanya dijadikan sebagai upacara sempenaan tertentu sahaja seperti ada majlis-majlis rasmi dan keramaian atau dijadikan acara mingguan dan tahunan sahaja seperti solat jumaat dan hari raya. Persoalannya kenapa kebanyakan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal solat berjamaah serta beranggapan ianya tidak penting?! Sedangkan lambang kesatuan dan kekuatan umat Islam terletak di dalam satu barisan bermula dari solat berjamaah. Firman Allah SWT dalam surah al-Shaff ayat 4 yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.

Tanggapan bahawa solat berjemaah tidak penting adalah sangkaan yang salah dan bertentangan dengan perintah Allah SWT, sebagaimana firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bremaksud:

Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

Maksud suruhan rukuk bersama orang-orang yang rukuk dalam ayat di atas, ialah suruhan supaya solat-solat fardhu itu dilakukan secara berjamaah.

Dalam ayat lain menjelaskan bertapa dituntutnya solat berjemaah sekalipun pada masa peperangan kita dituntut melaksanakannya. Perkara ini boleh dilihat dalam surah an-Nisaa ayat 102 firmanNya yang bermaksud:

Dan apabila Engkau (Wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu Engkau mendirikan solat dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan solat) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum solat (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersolat (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.

Maksud dari ayat di atas dapat difahami bahawa Allah SWT menjelaskan kepada kita tuntutan dan cara melakukan solat fardhu berjamaah pada masa peperangan. Jika solat fardhu dalam masa peperangan dituntut supaya dilakukan secara berjamaah, maka tuntutan solat fardhu supaya dilakukan secara berjamaah dalam suasana aman damai adalah lebih dituntut dan diutamakan.

Tuntutan solat fardhu lima waktu secara berjemaah ini adalah sunnah Nabi SAW yang sewajibnya kita sambut dan ikuti bukan hanya menyambut hari kelahiran Baginda SAW setiap tahun sedangkan sunnahnya tidak disambut dan diikuti. Malangnya, apa yang diperintah dan dituntut oleh Rasul tidak diikuti dan diamalkan, malah apa yang tidak diperintah pula yang dilakukan. Inilah yang mengundang musibah dan bala daripada Allah terhadap umat-umat yang terdahulu.

Nabi SAW memberi ancaman yang keras terhadap kaum lelaki yang selalu meninggalkan solat berjemaah dengan sengaja tanpa uzur syarie, sebagaimana sabda baginda SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah RA yang bermaksud:

“Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat Isya’ dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya (secara berjemaah) walaupun dengan cara merangkak (ke tempat solat).

Sesungguhnya aku berhasrat (di satu masa) memerintah (sahabat-sahabat) menunaikan solat (fardhu secara berjemaah) dengan memerintah seorang lelaki bersolat (menjadi imam) bersama-sama sahabat (yang hadir), kemudian aku akan keluar dengan sekumpulan lelaki bersama seberkas kayu api untuk mencari mereka yang tidak menunaikan solat fardhu (secara berjemaah) maka aku akan bakar rumah-rumah mereka.”


Betapa penting dan besar kedudukan solat fardhu lima waktu secara berjemaah di sisi Islam, sehinggakan ianya diberi kelebihan pahala dua puluh tujuh kali ganda bagi orang yang bersolat secara berjemaah daripada bersolat bersendirian, sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar ra bermaksud:


“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda pahala.”

Marilah kita beramai-ramai menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah dimana sahaja kita berada, sama ada di pejabat, di pasaraya, di sekolah, taman rekreasi dan yang paling utama solat berjemaah ini dilakukan di masjid.

Solat berjemaah adalah lambang kekuatan dan keutuhan umat Islam serta cahaya keimanan mereka. Tanda kelemahan kesatuan umat Islam serta malap keimanan mereka adalah bilamana mereka meninggalkan solat secara berjemaah. Di antara perbezaan seorang muslim yang sejati dan munafik adalah pada solat mereka. Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 142 yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). Apabila mereka hendak berdiri solat, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang sekali).